Rabu, 6 Ogos 2008

Sinepleks: Midnight Meat Train undang rasa ngeri

SALAH satu adegan dalam filem seram, The Midnight Meat Train, filem yang dibuat berdasarkan cerita pendek tulisan Clive Barker.

Brooke Shields sekadar pelakon pembantu saja

SEJAK beberapa dekad lalu, kategori filem seram dan thriller tidak pernah melupakan judul yang mengangkat elemen ngeri atau kekejaman penuh berdarah sebagai tarikan. Lalu, daripada sekadar menghidangkan wajah hantu yang buruk, sebahagian pengarah lebih rela membawakan unsur ngeri berbentuk aksi memenggal anggota tubuh badan atau usus yang terburai sebagai umpan mendapatkan perhatian.

Lalu, hadirlah pelbagai judul yang mengutarakan tema pembunuh bersiri yang gila, penjenayah tidak berperikemanusiaan, haiwan yang tiba-tiba bertukar ganas, mayat hidup yang memburu manusia, kehidupan sebelum zaman kemajuan, manusia yang berevolusi menjadi pemangsa, pengembaraan bertukar mimpi ngeri dan sebagainya.

Dengan itu juga, muncullah pelbagai judul filem dalam kategori mengerikan seperti Halloween, Friday the 13th, A Nightmare on Elm Street, Final Destination, Grindhouse, Hostel, Cannibal Holocaust, Cannibal Ferox, Night of the Living Dead, Saw (1 hingga 4), The Evil Dead, Dawn of the Dead, Anatomy, Autopsy, The Decent, The Devil's Reject, Army of Darkness, House of 1000 Corpses, Eaten Alive dan The Hills Have Eyes.

Yang pasti, sebahagian penonton gemarkan cerita sedemikian. Mereka seronok menyaksikan babak manusia dicincang, anggota badan diseksa hingga berdarah, tubuh ditoreh sehingga perutnya terburai, kepala pecah dihentak dengan senjata berat atau badan hancur dihempap sesuatu yang dahsyat.

Sebahagiannya berpandangan, menonton aksi sebegitu membangkitkan deria sensitiviti mereka untuk lebih menghargai kesempurnaan ciptaan Tuhan. Sesetengahnya pula memang sukakan adegan penuh darah. Sekali fikir, ia cukup meloyakan, tetapi itulah realiti hiburan. Ada pelbagai selera di kalangan kita manusia apabila tiba ke bab memuaskan diri menerusi filem.

Saya bukan penggemar utama filem yang menghidangkan darah atau babak kejam sebagai fokus cerita. Namun, saya tidak menolaknya apabila diajak menonton sama. Paling tidak, jika ia dibuat dengan baik, saya masih boleh menggolongkan filem itu sebagai karya yang dibuat dengan penuh ketelitian. Ada kualiti, kata orang.

Begitu juga apabila pihak Cathay Organization mengundang wartawan menonton filem terbaru edaran mereka, The Midnight Meat Train, awal minggu ini. Saya tidak menyangka, hasrat untuk melihat lakonan pelakon kesukaan, Brooke Shields, bertukar menjadi pengalaman 'ngeri' dek hasil tangan pengarah Jepun, Ryuhei Kitamura. Sheilds pula muncul sebagai pelakon pembantu saja. Filem itu ditunjangi pelakon Bradley Cooper, Leslie Bibb dan Vinnie Jones.

Secara ringkas, filem yang mula ditayangkan semalam (sama tarikh tayangannya dengan Amerika Syarikat) itu mengisahkan bagaimana seorang jurugambar yang diminta mendapatkan foto lebih realistik berkaitan kota dihuninya, mula mengekori seorang lelaki yang disyaki sebagai pembunuh bersiri. Tindakannya itu membawa dirinya dan si kekasih jauh menjelajah ke alam bawah tanah yang penuh misteri dan ketakutan.

Bagi khalayak yang gemarkan elemen kekejaman, tentu sekali mereka akan menggemari filem ini kerana ia penuh dengan babak pembunuhan yang mengecutkan perut. Acap kali saya menonton menerusi celahan jari, kerana tidak sanggup menyaksikan bagaimana kepala dihentak penukul besi, gigi dicungkil, kaki ditusuk penyangkut dan tubuh digantung dengan kepala ke bawah bak daging sembelihan.

Begitupun agak menghiburkan apabila Kitamura menggunakan kepakarannya dalam memberikan visual dikira cukup menarik, serta teknik sinematografi yang kreatif menerusi filem berkenaan. Kamera yang bergerak secara pusingan 360 darjah dalam tren yang sedang bergerak, antara rakaman paling cantik pernah saya nampak. Apa juga teknologi yang digunakan, bukan lagi persoalannya kerana persembahan sinematografi mereka amat membanggakan.

Jones, bekas bintang bola sepak Inggeris ini pula mencuri perhatian dengan penampilannya sebagai pembunuh bersiri yang kejam. Renungan matanya yang tajam itu saja sudah cukup membuatkan dada berombak kuat, apatah lagi hayunan penukul besinya yang tiba-tiba saja hinggap ke kepala. Apabila tiba saja babak membabitkan dirinya, badan terasa sampai ke hujung kerusi menahan debaran.

Selepas ini, mungkin ada yang akan berfikir dua atau tiga kali sebelum melangkah masuk ke tren terakhir menjelang tengah malam.

Tiada ulasan: