Khamis, 7 Ogos 2008

Demokrasi Jamin Kebebasan Rakyat

'SEJAK sejarah Adam dan Hawa, alam berkembang berubah-ubah'. Ini adalah lirik lagu nyanyian berduet Allahyarham Abdullah Chik dan Saloma dalam filem Tunang Pak Dukun. Hakikatnya begitulah kerana perubahan adalah tabii dan realiti kehidupan. Kehidupan yang tidak berubah adalah kehidupan yang beku.

Sifat stagnasi atau kebekuan tidak selari dengan Sirah Nabawiyyah yang mempamerkan agenda perubahan menjadi misi utama Baginda. Baginda berusaha mengubah minda masyarakatnya sama ada dalam hal ketuhanan (akidah) hinggalah kepada perubahan duniawi.

Sirah Nabawiyyah juga menunjukkan untuk mengurus perubahan mestilah melalui kepemimpinan yang dinamik dan berwawasan. Di Madinah, Baginda bukan saja menegakkan akidah tauhid malah melaksanakan kehidupan bernegara untuk mengurus masyarakat dan perubahan.

Rabu, 6 Ogos 2008

Permatang Pauh Kembali Hangat

Permatang Pauh di Seberang Prai Tengah merupakan kawasan Parlimen yang amat menarik di Pulau Pinang kerana wakil rakyatnya beberapa kali bertukar sejak pilihan raya umum 1969.

Kerusi itu menjadi milik parti Perikatan pada pilihan raya umum 1969 setelah calonnya, Mohd Nor Bakar menewaskan wakil Pas, Musa Mohd Yatim dan pada 1974, Ariffin Md Daud, calon Barisan Nasional (BN) (yang menggantikan Perikatan), menewaskan Abu Bakar Murni dari Pekemas dan Baharuddin Ibrahim dari Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM).

Pada pilihan raya umum 1978, calon Pas, Zabidi Ali menewaskan Ariffin untuk mengambil alih kerusi itu, dan pada pilihan raya umum 1982, calon BN Datuk Seri Anwar Ibrahim merampas kembali kerusi itu daripada Zabidi dalam pertandingan yang turutu membabitkan Tan Ah Huat dari DAP.

Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh 26 Ogos

Pegawai Perhubungan Awam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Sabri Syed, memberikan salinan kenyataan media kepada wartawan di Putrajaya, tengah hari ini. Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh ditetapkan 26 Ogos ini dengan hari penamaan calon 16 Ogos.



Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh ditetapkan 26 Ogos ini dengan hari penamaan calon 16 Ogos. Pengumuman tarikh pilihan raya itu dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengadakan mesyuaratnya, di sini, tengah hari ini.

Mewujudkan Melayu Minda Kelas Pertama

MEMPEROLEH peluang belajar di kota London - kota yang dikatakan mempunyai penduduk fikiran kelas pertama - sememangnya merupakan satu peluang keemasan yang dinanti-nantikan. Apabila mula bergaul dengan penduduk setempat, kesempatan pertama yang diambil ialah memerhatikan cara hidup masyarakat London yang begitu dikagumi oleh seluruh pelosok dunia termasuk dari Malaysia.

Apakah rahsia mereka? Adakah disebabkan budaya mereka yang suka berparti di pub-pub semasa hujung minggu? Atau aktiviti bertukar-tukar pasangan yang menjadi sebahagian budaya hidup mereka?

Daripada pemerhatian penulis, apa yang menyebabkan masyarakat di sini begitu pesat membangun adalah budaya membaca yang sudah tertanam di dalam diri mereka.

Mereka membaca pelbagai jenis bacaan, daripada bahan bacaan picisan yang dijual di tepi-tepi jalan kepada bahan bacaan intelektual yang tinggi. Budaya inilah yang menyebabkan penduduk di kota London khasnya dan penduduk England amnya maju dengan begitu pantas.

PemikiranIlmu berkembang begitu pantas dan pemikiran mereka adalah begitu tajam dan kritis disebabkan oleh sikap mereka yang cintakan membaca. Ini amat jauh dari budaya masyarakat Melayu yang lebih suka melepak di surau-surau, di kedai kopi dan kompleks membeli belah.

Amalan ini seolah-olah merupakan satu budaya yang sudah sebati dengan bangsa Melayu, tidak kira umur, daripada tok lebai yang sering ke masjid, ibu-ibu yang tidak bekerja kepada anak anak remaja yang membuang masa di kompleks membeli belah. Justeru, penulis tidak hairan mengapa kita begitu lambat untuk membangun.

Pengalaman yang penulis tidak dapat lupakan adalah apabila melihat penganggur di kota London meminta sedekah sambil membaca buku. Penulis begitu mengagumi sikap mereka. Mereka mengetahui bahawa dengan ilmulah, nasib mereka dapat diubah.

Maka tidak hairanlah jika mereka sering dikaitkan sebagai golongan yang mencipta, dan masyarakat timur hanya dikaitkan dengan golongan yang hanya mampu mengubah atau mengubahsuai bahan yang dicipta dari timur.

Sekali lagi penulis ingin menekankan agar masyarakat Melayu mengubah sikap mereka kepada budaya membaca. Ingatlah, apabila kita membuang masa berborak di kedai-kedai kopi dan di kompleks membeli belah, masyarakat lain sedang sibuk untuk menuntut ilmu, mengembang idea dan menggembleng tenaga untuk mengubah nasib mereka. Jika dibiarkan, kita akan jauh ketinggalan. Masa untuk bekerja dan kurangkan bercakap.

Dirotan Kerana Berbahasa Melayu

PADA 31 Julai lalu Sekolah Menengah King Edward VII Taiping menyambut ulang tahun ke-125. Penulis adalah antara ribuan bekas pelajar sekolah tersebut yang terkenal dengan nama singkatan KE.

Januari 1960 penulis menjejakkan kaki buat pertama kalinya ke Sekolah KE untuk memulakan pengajian di dalam kelas peralihan (remove class). Sebahagian besar daripada lebih kurang 30 pelajar kelas peralihan adalah anak-anak Melayu berasal dari sekolah Melayu dari jajahan Larut, Matang dan Selama.

Kumpulan kedua terbesar ialah anak-anak kaum India bekas pelajar Sekolah Tamil dan berasal dari beberapa buah estet dari jajahan yang sama. Sementara dua orang pelajar Cina berasal dari bandar Taiping kalau tidak silap penulis bekas pelajar sekolah Chung Hwa.

Kini setelah 48 tahun kenangan semasa di KE khususnya kelas peralihan masih jelas dalam ingatan. Paling geli hati ialah ketika mengenangkan jerit pekik para pelajar ketika dirotan oleh guru kelas yang terkenal dengan garangnya. Nama guru keturunan Ceylonese (Sri Lanka) ini tidak perlulah ditulis di sini.

Tetapi tidak ada antara kami yang ambil hati mengenai perkara itu. Bahkan ketika bertemu dengan kawan-kawan lama dan apabila peristiwa tersebut ditimbulkan ia menjadi bahan ketawa.

Namun jasa guru ini tidak ada tolak bandingnya. Tanpa sikapnya yang garang sudah pasti ramai yang tidak boleh maju dalam pelajaran khususnya pemahaman bahasa inggeris. Maklumlah pelajar-pelajar dari sekolah Melayu dan Tamil mempunyai keupayaan bahasa inggeris yang amat rendah.

Hari pertama tiba di KE dengan ayah. Guru ini bertanya penulis tujuan datang ke sekolah. Dalam keadaan takut penulis menjawab "nak mengaji cikgu" dalam bahasa Melayu. Ayah mengambil kesempatan memberitahu guru supaya melakukan apa sahaja asalkan anaknya jadi pandai.

Ayah nampaknya tidak dapat membezakan antara guru sekolah biasa dengan guru sekolah agama. Ketika menghantar anak-anak untuk belajar Quran ibu bapa ketika itu melafazkan kata-kata keramat iaitu guru Quran boleh berbuat apa sahaja terhadap anak-anak mereka asalkan jangan patah atau mati.

Pesanan yang sama diberi oleh ayah kepada guru kelas yang secara kebetulan terkenal dengan garangnya. Oleh kerana di peringkat pemulaan ramai antara kami yang tidak boleh berbahasa inggeris beliau terpaksa bercakap dalam bahasa Melayu dan Tamil. Hinggakan ramai pelajar Melayu yang boleh berbahasa Tamil.

Ketika itu guru-guru masih boleh menggunakan rotan. Malahan pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan yang amat berat sering dirotan (public canning) di perhimpunan pagi atau di dalam bilik guru besar.

Sebahagian besar dari para pelajar ketika itu (sebelum bermulanya sekolah menengah Melayu) adalah terdiri dari kaum Cina. Ini tidak dihairankan kerana Cina merupakan kaum majoriti di bandar Taiping.

Sementara sebahagian besar daripada pelajar Melayu berasal dari kampung-kampung. Mereka memulakan pelajaran sama ada sebagai pelajar Kelas Khas Melayu (Special Malay Class- SMC) atau pelajar-pelajar kelas peralihan.

Untuk memasuki SMC para pelajar hendaklah lulus peperiksaan biasanya diambil oleh pelajar-pelajar darjah empat sekolah Melayu. Sementara pelajar-pelajar kelas peralihan pula dikehendaki lulus peperiksaan darjah enam yang dipanggil Peperiksaan Memasuki Sekolah Menengah (Secondary School Entrance Examination).

Di kalangan guru-guru pula boleh dikatakan hampir 80 peratus adalah dari kaum Cina. Selebihnya ialah Melayu dan India. Sementara guru besar ketika itu ialah W.V. Hobson berketurunan Inggeris.

Rata-rata pelajar Melayu dan India adalah dari keluarga miskin. Hinggakan stoking merupakan satu komoditi yang amat berharga.

Penulis sendiri terpaksa mengayuh basikal sejauh tiga batu sebelum menaiki bas sejauh 19 batu. Tambang bulanan bas sebanyak RM19 melebih 20 peratus gaji bulanan ayah. Lantaran itu emak terpaksa menoreh getah untuk menambah pendapatan. Malahan penulis sendiri menoreh getah dihujung minggu dan ketika cuti penggal.

Pernah ayah memohon bantuan tambang bas (tak ingat dari pihak mana) tetapi ditolak dengan alasan ayah mempunyai pendapatan tetap RM70 sebulan. Gaji sebanyak itu dikira lumayan ketika itu. Ini bermakna ramai orang Melayu yang berpendapatan bulanan lebih rendah daripada jumlah tersebut.

Namun penulis amat bangga dengan visi ayah yang mahukan anaknya belajar di sekolah Inggeris walaupun terpaksa bekerja keras untuk mengumpul wang. Seringkali ayah membawa penulis ke pejabat Tanah Taiping ketika beliau menerima gaji. Sebenarnya beliau mahu penulis mendapat inspirasi supaya belajar dengan tekun. Kalau tidak dapat jadi Pegawai Daerah (DO) jadi kerani pun jadilah.

Sebenarnya KE mempunyai jutaan rahsia dalam usianya selama 125 tahun. Meskipun ia pernah menghasilkan ribuan tokoh terkemuka negara, tetapi tidak kurang juga yang terkandas di tengah jalan. Khususnya anak-anak Melayu di awal 60an.

Ketika itu belum ada Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau sistem kuota.

Rasanya keadaan sekarang amat berbeza dengan awal 60an dalam berbagai segi. Dari komposisi guru hingga para pelajar dan taraf hidup ibu bapa.

Para pelajar pula rasanya tidak perlu membawa bekal dari rumah ketika menghadiri kelas tengah hari seperti mana yang penulis pernah rasai dulu.

Yang jelas para pelajar tidak lagi dirotan semata-mata kerana bercakap mengguna bahasa Melayu dalam kawasan sekolah.

Photos Movie The Dark Knight









Sinepleks: Midnight Meat Train undang rasa ngeri

SALAH satu adegan dalam filem seram, The Midnight Meat Train, filem yang dibuat berdasarkan cerita pendek tulisan Clive Barker.

Brooke Shields sekadar pelakon pembantu saja

SEJAK beberapa dekad lalu, kategori filem seram dan thriller tidak pernah melupakan judul yang mengangkat elemen ngeri atau kekejaman penuh berdarah sebagai tarikan. Lalu, daripada sekadar menghidangkan wajah hantu yang buruk, sebahagian pengarah lebih rela membawakan unsur ngeri berbentuk aksi memenggal anggota tubuh badan atau usus yang terburai sebagai umpan mendapatkan perhatian.

Lalu, hadirlah pelbagai judul yang mengutarakan tema pembunuh bersiri yang gila, penjenayah tidak berperikemanusiaan, haiwan yang tiba-tiba bertukar ganas, mayat hidup yang memburu manusia, kehidupan sebelum zaman kemajuan, manusia yang berevolusi menjadi pemangsa, pengembaraan bertukar mimpi ngeri dan sebagainya.

Dengan itu juga, muncullah pelbagai judul filem dalam kategori mengerikan seperti Halloween, Friday the 13th, A Nightmare on Elm Street, Final Destination, Grindhouse, Hostel, Cannibal Holocaust, Cannibal Ferox, Night of the Living Dead, Saw (1 hingga 4), The Evil Dead, Dawn of the Dead, Anatomy, Autopsy, The Decent, The Devil's Reject, Army of Darkness, House of 1000 Corpses, Eaten Alive dan The Hills Have Eyes.

Yang pasti, sebahagian penonton gemarkan cerita sedemikian. Mereka seronok menyaksikan babak manusia dicincang, anggota badan diseksa hingga berdarah, tubuh ditoreh sehingga perutnya terburai, kepala pecah dihentak dengan senjata berat atau badan hancur dihempap sesuatu yang dahsyat.

Sebahagiannya berpandangan, menonton aksi sebegitu membangkitkan deria sensitiviti mereka untuk lebih menghargai kesempurnaan ciptaan Tuhan. Sesetengahnya pula memang sukakan adegan penuh darah. Sekali fikir, ia cukup meloyakan, tetapi itulah realiti hiburan. Ada pelbagai selera di kalangan kita manusia apabila tiba ke bab memuaskan diri menerusi filem.

Saya bukan penggemar utama filem yang menghidangkan darah atau babak kejam sebagai fokus cerita. Namun, saya tidak menolaknya apabila diajak menonton sama. Paling tidak, jika ia dibuat dengan baik, saya masih boleh menggolongkan filem itu sebagai karya yang dibuat dengan penuh ketelitian. Ada kualiti, kata orang.

Begitu juga apabila pihak Cathay Organization mengundang wartawan menonton filem terbaru edaran mereka, The Midnight Meat Train, awal minggu ini. Saya tidak menyangka, hasrat untuk melihat lakonan pelakon kesukaan, Brooke Shields, bertukar menjadi pengalaman 'ngeri' dek hasil tangan pengarah Jepun, Ryuhei Kitamura. Sheilds pula muncul sebagai pelakon pembantu saja. Filem itu ditunjangi pelakon Bradley Cooper, Leslie Bibb dan Vinnie Jones.

Secara ringkas, filem yang mula ditayangkan semalam (sama tarikh tayangannya dengan Amerika Syarikat) itu mengisahkan bagaimana seorang jurugambar yang diminta mendapatkan foto lebih realistik berkaitan kota dihuninya, mula mengekori seorang lelaki yang disyaki sebagai pembunuh bersiri. Tindakannya itu membawa dirinya dan si kekasih jauh menjelajah ke alam bawah tanah yang penuh misteri dan ketakutan.

Bagi khalayak yang gemarkan elemen kekejaman, tentu sekali mereka akan menggemari filem ini kerana ia penuh dengan babak pembunuhan yang mengecutkan perut. Acap kali saya menonton menerusi celahan jari, kerana tidak sanggup menyaksikan bagaimana kepala dihentak penukul besi, gigi dicungkil, kaki ditusuk penyangkut dan tubuh digantung dengan kepala ke bawah bak daging sembelihan.

Begitupun agak menghiburkan apabila Kitamura menggunakan kepakarannya dalam memberikan visual dikira cukup menarik, serta teknik sinematografi yang kreatif menerusi filem berkenaan. Kamera yang bergerak secara pusingan 360 darjah dalam tren yang sedang bergerak, antara rakaman paling cantik pernah saya nampak. Apa juga teknologi yang digunakan, bukan lagi persoalannya kerana persembahan sinematografi mereka amat membanggakan.

Jones, bekas bintang bola sepak Inggeris ini pula mencuri perhatian dengan penampilannya sebagai pembunuh bersiri yang kejam. Renungan matanya yang tajam itu saja sudah cukup membuatkan dada berombak kuat, apatah lagi hayunan penukul besinya yang tiba-tiba saja hinggap ke kepala. Apabila tiba saja babak membabitkan dirinya, badan terasa sampai ke hujung kerusi menahan debaran.

Selepas ini, mungkin ada yang akan berfikir dua atau tiga kali sebelum melangkah masuk ke tren terakhir menjelang tengah malam.