Rabu, 6 Ogos 2008

BPR siasat semula MRR2


KESELAMATAN: Kerja baik pulih tiang jejambat yang retak di MRR2 giat dijalankan.


PUTRAJAYA: Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan membuka semula kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam projek pembinaan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berikutan keretakan terbaru tiang jejambat laluan itu, Ahad lalu.

Sumber BPR memberitahu Berita Harian, kontraktor yang terbabit dalam pembinaan Pakej II MRR2 berharga RM238 juta itu akan dipanggil bagi membantu siasatan.

"Kita juga perlu melihat semula kertas siasatan yang dibuka ketika kejadian terdahulu, sebelum mengambil tindakan susulan berhubung keretakan terbaru pada tiang jejambat MRR2," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Ahad lalu, jejambat enam lorong berhampiran Stesen Komuter Kepong itu terpaksa ditutup buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun apabila satu daripada tiangnya yang diperbaiki sebelum ini mengalami kerekahan.


Kelmarin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan kejadian terbaru itu sepatutnya boleh dielakkan sekiranya keretakan yang dibaiki dulu dilakukan dengan berhati-hati.

Perdana Menteri berkata, sebanyak RM70 juta dibelanjakan bagi membaiki keretakan jambatan itu dulu dan kini ia retak lagi.

Jejambat sejauh 1.7 kilometer yang mula dibuka pada 1999 itu, adalah sebahagian daripada Pakej II MRR2 berharga RM238 juta yang dibina Konsortium Bumi Hiway, Sukmin dan KKMJB berdasarkan pelan lakaran syarikat kejuruteraan Maunsell, Sharma dan Zakaria Sdn Bhd (MSZ).

Pakej II MRR2 bermula dari persimpangan Taman Kepong Indah dan berakhir di persimpangan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)/Sungai Buloh/Bandar Sri Damansara.

Laluan itu ditutup untuk kali pertama pada 9 Ogos 2004 apabila 31 daripada 33 tiangnya retak. Berikutan itu, Unit Kejuruteraan BPR menjalankan siasatan untuk mengesan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pembinaan projek berkenaan.

Ketua Pengarah BPR ketika itu, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor, berkata kertas siasatan akan dibuka jika pemeriksaan itu mendapati ada asas pelakuan rasuah dalam pembinaan projek berkenaan.

Siasatan pakar perunding British, Halcrow Consultants Ltd (Halcrow), yang dilantik kerajaan bagi mengkaji punca kerosakan tiang jejambat MRR2 itu, pula mendapati kejadian itu berlaku akibat kecuaian pemasangan cerucuk dan tetulang besi yang tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk.

Laluan itu dibuka kepada kenderaan ringan pada November 2004 sebelum ditutup semula pada Februari 2006 untuk kerja pembaikan tambahan.

Pada Februari 2006, BPR menerima laporan berhubung masalah membabitkan pembinaan MRR2 daripada Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF). Laluan itu kemudian dibuka semula pada Disember 2006 selepas kerja pembaikan siap.

Tiada ulasan: