Rabu, 6 Ogos 2008

Aksi filem The Dark Knight cetus kontroversi

AKSI: Adegan kejar mengejar dalam filem Batman
�The Dark Knight�.


Batman raih RM1.9b tidak sampai tiga minggu ditayangkan menerima rungut penonton

LONDON: Filem terbaru Batman, The Dark Knight, yang mengumpul lebih £300 juta (RM1.9 bilion) di seluruh dunia tidak sampai tiga minggu ditayangkan bukan saja menarik penonton tetapi turut menerima 82 rungutan yang disampaikan kepada Lembaga Klasifikasi Filem Britain (BBFC).

Tiada filem pernah mencetuskan kontroversi seumpama itu dengan begitu cepat.

Aduan bertumpu kepada pensijilan 12A filem berkenaan, yang bermakna budak di bawah usia 12 tahun boleh menontonnya jika diiringi orang dewasa.


Ibu bapa berkata, golongan muda tidak sesuai menonton filem berkenaan terutama dengan watak The Joker, lakonan mendiang Heath Ledger, yang dipukul kejam, kerap kali mengancam menikam muka mangsa dan pada satu ketika mencucuk pensil ke mata seorang lelaki.

Kebimbangan ibu bapa turut dikongsi oleh ahli Parlimen kedua-dua parti utama Britain. Bekas pemimpin Parti Konservatif, Iain Duncan Smith, mengkritik filem berkenaan selepas menonton bersama anak perempuannya yang berusia 15 tahun.

Menggambarkan ia sebagai 'amat ganas' dalam surat kepada akhbar, beliau menulis: "Saya hairan lembaga membenarkan sesiapa di bawah usia 15 tahun menonton filem itu. Tidak seperti filem Batman yang lalu, yang menyaksikan penjahat sekadar khayalan dan tokoh komik, Joker lakonan Heath Ledger dilakonkan dengan amat baik tetapi seorang pembunuh psikopatik, yang menggunakan pisau untuk membunuh dan mencacatkan mangsa pada ketika kebangkitan keganasan bandar yang dicemari penderaan."

Sementara, ahli Parlimen Buruh dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Hal Ehwal Dalam Negeri, Keith Vaz, berkata beliau terperanjat dengan kandungan filem berkenaan dan kini bercadang menarik BBFC bersemuka dengan jawatankuasanya mengenai jenayah pisau lewat tahun ini.

"BBFC perlu sedar terdapat adegan ganas yang dilakukan secara sukarela dalam filem The Dark Knight yang menyebabkan saya tidak akan membawa anak perempuan saya berusia 11 tahun untuk menontonnya. Ia sepatutnya untuk tontonan 15 tahun," kata Vaz. � Agensi

Tiada ulasan: